KESABARAN
DAN PERJUANGAN
Rasulullah s.a.w bersabda yang
maksudnya:"Allah berfirman dalam hadis qudsi yang bermaksud," Tiada
balasan bagi seseorang hamba-Ku yang telah Aku ambil kembali kekasihnya,
kemudian orang itu mengharapkan pahala daripada-Ku melainkan orang itu akan
mendapat balasan syurga."
(Riwayat Bukhari)
Sabar ialah mengawal diri daripada
kegelisahan dan menerima segala dugaan, rintangan dan segala suruhan Allah
dengan hati yang tenang iaitu tidak merasa jemu dan berputus asa dalam menghadapi
kesulitan hidup.
Kita hendaklah bersabar ketika menghadapi kematian suami, isteri, anak atau ibu bapa kerana semua makhluk adalah menjadi milik Allah. Malah kita dinasihatkan untuk berkata:" Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali." (Maksud al-Baqarah :156)
Sabar perlu dilakukan sejak mula-mula menghadapi bala kesusahan kerana seseorang yang menghadapi kesusahan dengan penuh kesabaran akan dihapuskan dosanya dan dimasukkan ke dalam syurga.
Sesungguhnya setiap mukmin yang
beriman kepada Allah, imannya belum dapat diperakui sebelum diuji keimanannya
itu dan berjaya pula menghadapi dugaan tersebut di mana tiada balasan yang
lebih besar di dunia dan akhirat daripada balasan bagi seseorang yang bersifat
sabar dalam menghadapi bala ketika di dunia.
Setiap ujian yang diturunkan oleh Allah mempunyai hikmahnya yang tersendiri. Oleh itu untuk menjadi hamba Allah yang dikasihi, hendaklah kita bersedia menghadapi setiap ujian yang menimpa dengan penuh kesabaran, sebaliknya bagi seseorang yang tidak redha menerima ujian Allah, maka ia akan menjadi hamba yang dibenci serta jauh daripada rahmat Allah.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan